Kedai Rakyat 1Malaysia - Inisiatif Membantu Rakyat

Source: Utusan Malaysia - 30 December 2011

header INISIATIF MEMBANTU RAKYAT - KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA (KR1M)

Najib Kenaikan harga barangan makanan di peringkat global telah memberikan kesan secara langsung kepada negara-negara membangun di mana rakyat negara-negara berkenaan mulai merasakan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Ini ditambah lagi dengan sikap segelintir peniaga yang mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan terutamanya produk makanan atas alasan kekurangan bekalan demi mengaut keuntungan berlebihan.

Malaysia juga tidak terkecuali menghadapi fenomena ini di mana suatu langkah inisiatif segera telah diambil Kerajaan bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang beroperasi berlandaskan konsep pasar mini “mesra bajet” yang menyediakan pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang rendah dan mampu milik. Inisiatif ini telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di atas keprihatinan beliau terhadap golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar selaras dengan slogan “Rakyat Didahulukan” yang juga telah dicetuskan oleh beliau sendiri.

KR1M mensasarkan kumpulan pengguna yang mempunyai bajet yang terhad serta keperluan yang paling asas. Matlamat utama KR1M bukanlah untuk mengaut keuntungan, sebaliknya untuk meringankan beban tanggungan perbelanjaan golongan tersebut. Namun demikian KR1M tidak menghadkan kepada sebarang kumpulan pengguna, maka sesiapa sahaja boleh melangkah masuk ke KR1M dan mendapatkan produk 1Malaysia. Kewujudan KR1M juga bakal menjadi medium kepada Kerajaan dalam mengawal harga dan mengurangkan monopoli produk atau barangan yang telah sekian lama didominasi oleh pengeluar syarikat multinasional. Ini dapat mengawal syarikat multinasional dari menaikkan harga tanpa sebab yang munasabah. Matlamat utama KR1M akan menyediakan perkhidmatan kepada segmen pelanggan yang serupa seperti pasar raya besar, pasar mini dan lain-lain tetapi penumpuan utama adalah terhadap pengguna yang memerlukan barangan keperluan asas pada perbelanjaan yang terhad. 1

LANGKAH TEPAT ATASI KENAIKAN HARGA BARANG

Menerusi Bajet 2012, Kerajaan telah memberi fokus kepada kebajikan sosial dan sekaligus memberikan impak kepada perbelanjaan industri swasta yang mana selama ini menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi. Perlaksanaan penurunan cukai korporat, cukai barangan dan perkhidmatan, ternyata lebih bertujuan membantu isi rumah menangani kenaikan kos sara hidup selain merangsang perbelanjaan pengguna. Biarpun tumpuan kepada kebajikan sosial dijangka memberikan kesan kecil kepada pasaran tetapi ia bakal semarakkan oleh kesan perlaksanaan projek-projek Program Transformasi Ekonomi yang sedang dilakukan.

Sekiranya Kerajaan tidak mengambil sebarang langkah untuk mengawal kenaikan harga barang, Rakyat akan berhadapan dengan cabaran dan permasalahan apabila harga barangan dan komoditi global meningkat sekaligus membebankan rakyat sebagai pengguna akhir. Pengukuhan ekonomi domestik merupakan benteng utama bagi mengurangkan impak kemelesetan ekonomi global.

Kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia dilihat bertepatan dengan kehendak masyarakat bagi menolong mereka yang kurang mampu mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga rendah tetapi tetap berkualiti. Pada masa hadapan, akan lebih banyak lokasi-lokasi baru berdekatan kediaman penduduk akan dipilih untuk pembukaan cawangan baru KR1M kerana ianya akan diperluaskan ke seluruh Negara. Sehingga kini, matlamat untuk membuka 25 buah KR1M sebelum penghujung tahun 2011 telahpun tercapai mengikut sasaran dan rakyat kini sedang menikmati faedah daripada pembukaan kedai KR1M ini. Malah, kemudahan untuk memperolehi produk-produk KR1M ini telah diperluaskan ke kawasan-kawasan bandar dan di luar bandar menerusi kedai-kedai runcit milik persendirian yang sedia ada ekoran daripada desakan permintaan yang tinggi daripada rakyat yang berpendapatan rendah yang mahukan lebih banyak produk-produk KR1M di pasaran.

2 PRODUK 1MALAYSIA YANG DIJUAL DI KR1M

Produk 1Malaysia yang dijual di KR1M merupakan produk generik. Produk-produk ini tidak mempunyai kos pengiklanan, hanya menggunakan label dan corak asas, serta dikeluarkan oleh pembekal dan pengilang tempatan. Haslinya, KR1M berjaya menjimatkan kos pengiklanan seterusnya menurunkan harga produk sebanyak 30%-40% lebih rendah daripada jenama popular yang lain yang kebanyakannya ialah produk keluaran luar negara.

Harga produk-produk KR1M sentiasa dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK) malahan produk-produk ini juga akan diperiksa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menentukan ianya mematuhi Akta-Akta yang berhubungan. Sehingga kini terdapat 250 jenis barangan yang dijual di KR1M yang merangkumi produk makanan, barangan keperluan harian, barangan dapur, rempah ratus serta produk sejuk beku dan lain-lain lagi. Pihak pengurusan KR1M sentiasa menambahkan kepelbagaian produk yang dijual bagi membantu pengguna untuk membuat pilihan yang bijak dalam membeli barangan keperluan mereka.

Penjenamaan produk di bawah jenama Kedai Rakyat 1Malaysia telah membawa rahmat kepada barangan keluaran Industri Kecil Dan Sederhana (IKS). Kesemua produk ini adalah hasil keluaran pembekal dan usahawan tempatan dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat PKS untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas. Pendekatan ini umpama serampang dua mata kerana kewujudan KR1M bukan sahaja membantu pengusaha PKS memasarkan produk mereka dalam kuantiti yang lebih banyak, malah memberi pengguna manfaat dan keuntungan dari penawaran harga rendah produk tempatan yang dihasilkan di dalam Negara sendiri.

PENGGUNA MENGAKUI HARGA RENDAH

Kehidupan di bandar yang semakin menghimpit pada hari ini telah mampu diredakan apabila kerajaan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang menjanjikan harga yang lebih rendah dan mampu dibeli berbanding harga pasaran produk jenama antarabangsa.

Tinjauan dan temu ramah yang dilakukan oleh pihak media terhadap orang ramai sebelum ini, rata-ratanya menyuarakan pendapat yang sama iaitu kegembiraan dan sokongan terhadap bantuan kerajaan melalui penubuhan KR1M yang membantu mereka mendapatkan barangan asas pada harga yang rendah berdekatan dengan kediaman mereka. Pengguna mengakui mereka perlu berhemah dalam berbelanja dan bijak mengurus perniagaan. Mereka yang berada dalam golongan pertengahan turut terkena tempias dengan harga barangan yang semakin naik dari tahun ke tahun. Jadi setiap bulan mereka harus merancang perbelanjaan agar tidak melebihi bajet bulanan.

PELUANG BERNIAGA

Kerajaan membuka peluang kepada orang ramai untuk mengusahakan perniagaan KR1M setelah mendapat maklum balas positif dari orang ramai semenjak cawangan pertama yang dibuka di Kelana Jaya pada 22 Jun 2011. Ini sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak yang memutar belitkan fakta bahawa pengurusan KR1M dimonopoli kumpulan tertentu, sebaliknya semua pihak diberikan ruang yang sama untuk mengusahakannya. Peluang ini membolehkan pengusaha memilih sama ada mahu menjual produk 1Malaysia tetapi dengan menggunakan nama kedai yang sama ataupun membuka sebuah kedai yang baharu dan menggunakan nama Kedai Rakyat 1Malaysia.

PERUNCIT BOLEH MENJUAL PRODUK 1MALAYSIA

Terdapat lebih daripada 470 rangkaian kedai perniagaan runcit di seluruh Negara yang juga telah memulakan langkah menjual produk 1Malaysia di kedai perniagaan mereka. Pihak peruncit yang terbabit antaranya terdiri daripada pengusaha kedai runcit yang terlibat dalam program TUKAR, D’Mart, PERNAMA dan FAMA.

Kini, orang ramai sudah boleh mendapatkan produk-produk 1Malaysia bukan sahaja daripada rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia, tetapi juga di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka di stesen-stesen minyak seperti Shell, Esso, Caltex dan Petronas yang telah mula menjual produk 1Malaysia apabila menyedari prospek masa hadapan untuk penjualan produk 1Malaysia yang semakin diterima oleh pengguna.

MYDIN SEBAGAI PENGENDALI KR1M

Perlantikan syarikat peruncitan dan pemborongan tempatan iaitu Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) selaku pengendali Kedai Rakyat 1Malaysia adalah amat bertepatan sekali. Pengalaman dan penglibatan syarikat milik anak watan ini selama 54 tahun dalam bidang peruncitan telah memenuhi segala ciri-ciri yang dicari.

Dalam konteks ini MYDIN berperanan dalam memastikan bahawa setiap KR1M beroperasi dengan jayanya sejajar dengan matlamat dan inisiatif kerajaan dalam membantu Rakyat. Pemilikan rangkaian rantaian pembekalan yang ekstensif dalam industri peruncitan memberikan kelebihan kepada pihak MYDIN kerana ia bukan sahaja dapat membantu dalam memantapkan aspek operasi malahan mengekalkan kos operasi pada kadar yang sangat minimum.

Selaku pengendali KR1M, MYDIN perlu bijak dalam menguruskan kos-kos yang terlibat seperti kerja-kerja pengubahsuaian kedai, latihan dan pengambilan kakitangan, pengurusan sistem Point Of Sales (POS) dan pembekalan barangan yang bersesuaian. Satu perkara yang pasti, MYDIN akan mengekalkan harga yang rendah bagi produk-produk KR1M ini dan ini adalah merupakan program tanggungjawab sosial korporatnya kepada Rakyat Malaysia.

3 KR1M UNTUK RAKYAT

Malaysia sudah lama mengamalkan konsep Negara berkebajikan di mana dasar kebajikan terhadap rakyat telah dilaksanakan seperti wujudnya bantuan kepada nelayan, peladang dan klinik komuniti. Semua usaha itu dilakukan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah menangani kos sara hidup yang tinggi. Penubuhan KR1M adalah bukti bahawa Kerajaan adalah serius dan bertanggungjawab untuk membantu rakyat secara keseluruhannya.