KR1M : Salah Label, Bukan Tidak Selamat

Source: Sinar Harian - 05 December 2011

Kedai Rakyat 1Malaysia akan memanggil balik 13 produk berikutan berlaku ketidakpatuhan komposisi produk dan pelabelan yang dipasarkan.

Bagaimanapun, kesilapan produk berkenaan bukannya melibatkan aspek keselamatan makanan. Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, perkara ini berlaku akibat kesilapan teknikal apabila label dan komposisi produk tidak disertakan dengan jelas pada barangan berkenaan.

“Ini dilakukan selepas pemantauan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati produk ini tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Terdapat beberapa produk melibatkan kecuaian pengilang di mana tidak menyertakan nama produk di bahagian label, peratusan kandungan buah-buahan dalam jem dan jenis kentang yang digunakan. Perkara ini akan diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam. Produk yang terlibat adalah susu segar, susu sejat, krimer pekat manis, sos tiram dan jem buah-buahan.

Turut dikesan adalah kari ayam dalam tin, cordial mangga, sebatian minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim, crunchy peanut butter, crispy peanut butter dan ikan sardin dalam sos tomato bertin (155 gram).

Perkara ini timbul bulan lalu selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membangkitkan barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurut Ameer, tujuh produk yang dipertikaikan diteruskan jualan iaitu Susu Tepung Tumbesaran KR1M, ais krim, jem buah-buahan, susu sejat, krimer pekat manis, ikan sardin dan tin kari ayam kerana didapati mengikut standard Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

 

Produk KR1M

 

 

Susu Tumbesaran

 

Salah tafsiran pembangkang di mana berat satu sudu Susu Tepung Tumbesaran KR1M sebenarnya bersamaan dengan 7.5 gram. Ini bermakna 4 sudu susu tersebut adalah bersamaan dengan 30.0 gram.

 

Ais Krim

 

Pengilang tidak menyatakan nama sebutan sebenar produk pada label iaitu konfeksi ais.

 

Jem buah-buahan

 

Kandungan buah-buahan dalam jem buah-buahan campuran mematuhi dari segi peratus kandungan buah, tetapi label jem buah-buahan campuran tidak tepat kerana tidak menyatakan buah-buahan yang digunakan dalam jem itu sebagai ramuan.

 

Susu sejat

 

Produk itu sebenarnya adalah krimer sejat, tetapi dilabel sebagai susu sejat dalam Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, nama sebutan sebenar produk itu dalam Bahasa Inggeris adalah betul.

 

Krimer pekat manis

 

Mematuhi kandungan lemak, tetapi tidak mematuhi peratus pepejal bukan gula.

 

Ikan Sardin Tin

 

Tiga daripada lima sampel ikan sardin dalam tin 155 gram adalah kurang daripada 55 peratus kandungan ikan mengikut standard yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

 

Kari ayam tin

 

Nama sebutan sebenar pada label tidak menyatakan kehadiran kentang dalam produk itu.