Caltex, MYDIN Jual Produk 1Malaysia

Source: Berita Harian - 08 November 2011

CHEVRON Malaysia Ltd, pengendali stesen minyak Caltex di Malaysia menjadi stesen minyak pertama menjual produk barangan 1Malaysia di premisnya menerusi kerjasama dengan MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD bermula dua minggu lalu. Pengarah Negaranya, Jeremy Oh Beng Chuan, berkata langkah itu adalah sejajar strategi syarikatnya yang memberi kebebasan kepada pengusaha Caltex untuk membabitkan diri dalam kerjasama itu.

“ Kerjasama ini bermula selepas semua syarikat petroleum dijemput Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menghadiri mesyuarat dua bulan lalu bagi mendengar taklimat daripada pihak MYDIN berhubung Kedai Rakyat 1Malaysia dan model perniagaannya. “ Selepas itu, stesen minyak Caltex di Taman Kinrara menjadi yang pertama menawar diri untuk terbabit menjual barangan 1Malaysia di kedai runcit mereka yang kemudian diikuti beberapa cawangan lain,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.

Jeremy berkata, pihaknya memilih untuk berkerjasama dengan MYDIN selepas mendapat maklum balas daripada peruncit yang turut mengambil bahagian dalam mesyuarat itu mengatakan ia adalah langkah yang bagus. “Selain itu, ia adalah program baru yang akan menarik perhatian bukan saja daripada pelanggan yang berpendapatan rendah, tapi juga golongan pertengahan dan tinggi. “Mengenai kualiti barangan itu pula, ia adalah standing dengan jenama lain dan maklum balas yang diterima daripada pelanggan mengenai produk itu adalah mereka berpuas hati dengannya,” katanya yang setakat ini sebanyak empat stesen minyak Caltex sudah mengambil bahagian dalam kerjasama itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN MOHAMED HOLDINGS BHD, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya berharap supaya empat lagi syarikat petroleum lain akan menunjukkan minat untuk terbabit dalam kerjasama ini. “ Selepas pihak kami memberi taklimat, hanya Caltex saja yang datang menemui kami menyatakan minat mereka untuk menjual barangan 1Malaysia di kedai mereka. “Harga barangan 1Malaysia adalah 30 peratus lebih murah berbanding jenama lain di samping mengekalkan kualiti sama. Justeru, jika semua pihak mengambil bahagian ia akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.