Cari Pengedar Keperluan Harian

Source: Harian Metro - 25 June 2011

PETALING JAYA: “Kami mengalu-alukan mana-mana pihak berminat menjadi pengedar barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) supaya hasrat kerajaan membantu rakyat mendapatkan barang keperluan harian dengan harga murah tercapai,” kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, (Mydin) Datuk Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, selepas menerima reaksi positif daripada orang ramai apabila KR1M dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Rabu lalu, pihaknya kini dalam perancangan mengembangkan KR1M. Menurutnya, melalui Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan meminta kedai runcit yang lama dan tidak berkembang dimodenkan semula. “Menyedari masalah itu, kita mengalu-alukan kedatangan peruncit untuk menyertai KR1M dengan menjadi pengedar produk yang kita hasilkan.

“Keistimewaan menyertai KR1M ialah mereka boleh memperoleh barangan dengan harga borong,” katanya ketika ditemui Harian Metro di KR1M di stesen aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, di sini, semalam.KR1M adalah inisiatif Mydin bersama Syarikat Impian Stabil manakala Syarikat Prasarana Negara menyediakan lokasi. Ameer berkata, sehingga kini pihaknya mempunyai 62 kedai runcit Tukar dan sasaran diletakkan sehingga akhir tahun ini 500 kedai runcit yang akan menjadi cawangan kepada KR1M.

“Kami sedar hasrat kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan barangan murah. Atas sebab itu, Mydin mengedar barangan murah kepada orang ramai tanpa menerima subsidi,” katanya.Ameer berkata, pihaknya dimaklumkan Perdana Menteri mahu mewujudkan KR1M yang perniagaannya berkonsepkan tiada keuntungan dan tiada kerugian.

“Saya dimaklumkan Perdana Menteri, beliau inginkan keuntungan diperoleh dipulangkan semula kepada rakyat dan disebabkan itu nilai 250 barangan di sini diturunkan harganya. “Kami harus berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas niat murninya membantu rakyat negara ini,” katanya.

Menjawab soalan bagaimana pihaknya mampu menjual barangan pada harga murah sedangkan pada masa ini kebanyakan harga barang meningkat, Ameer memberitahu dia ada kaedah yang tersendiri. “Walaupun kita tahu harga barang semakin meningkat kami menjual pada kadar yang berpatutan. Sekiranya harga barang itu meningkat kami akan menaikkan juga harga barang tetapi tidaklah semahal harga pasaran,” katanya.

Menurutnya, alasan mengapa barangan yang dijual murah berbanding harga pasaran kerana Mydin mempunyai rangkaian kedai yang luas di seluruh negara apabila mereka mendapatkan barangan borong yang banyak sebelum dijual dengan harga murah.“Selain itu, kami juga tidak perlu memikirkan kos pengiklanan kerana KR1M adalah projek kerajaan selain barangan yang dijual adalah barangan generik (barangan berjenama tidak spesifik). “Barangan generik adalah barangan yang menggunakan jenama sendiri dan harganya diputuskan sendiri.

Oleh sebab itu, kerajaan mengambil keputusan meletakkan harga rendah untuk kebajikan rakyatnya,” katanya.Katanya, pemilik pasar raya selalunya mengaut keuntungan lebih berikutan menghasilkan barangan generik sendiri apabila mereka tidak perlu bersaing harga dengan pasa raya lain. “Namun, bagi kerajaan dengan memiliki generik iaitu KR1M, keputusan meletakkannya dengan harga rendah dilakukan kerana ia bagi kepentingan bersama,” katanya. Kata Ameer, pihaknya mendapatkan barangan daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang sekali gus membantu sektor ekonomi itu menjana pendapatan. “Kami sedar IKS kekurangan saluran memasarkan barangan mereka, sehubungan itu kerajaan membantu kedua-dua pihak iaitu IKS dan rakyat menikmati barangan murah, “ katanya.Menurutnya, pembinaan KR1M di LRT Kelana Jaya yang pertama di negara ini menelan kos RM250,000.
Cari Pengedar Harian