Produk KR1M Patuhi Peraturan Makanan

Source: Berita Harian - 24 November 2011

Kementerian Kesihatan mengesahkan kandungan produk makanan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mematuhi peraturan makanan dibenarkan dan selamat untuk digunakan. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata antara produk yang diuji kandungannya dan disahkan selamat mengikut Peraturan Makanan 1985 ialah susu tepung membesar, krimer pekat manis, krimer sejat, teh, bihun dan bes minuman blackcurrant. Bagaimanapun, katanya kementerian mendapati sos tiram yang dijual di KR1M gagal memenuhi standard protein yang ditetapkan dan diarahkan ditarik balik daripada pasaran serta-merta.

“Hasil analisis produk susu tepung membesar yang didakwa mengandungi vitamin berlebihan, mendapati kandungan Vitamin A adalah 3, 249 IU dan ia tidak melebihi had maksimum dibenarkan iaitu 5,000 IU. “Justeru, dakwaan pihak tertentu bahawa susu berkenaan mengandungi Vitamin A berlebihan tidak benar. Siasatan kami juga mendapati kilang terbabit melaksanakan sistem jaminan keselamatan makanan dan mempunyai sijil ISO 9001:2008,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Tiong Lai berkata, dakwaan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berhubung perkara itu dilihat sebagai cubaan untuk mengelirukan rakyat kerana membandingkan keperluan untuk susu bayi dengan susu membesar. “Pua sepatutnya datang ke kementerian untuk mengesahkan susu berkenaan, bukan membuat kesimpulan sendiri,” katanya. Diminta mengulas kelewatan memberi penjelasan berhubung dakwaan itu, beliau berkata, pihaknya menunggu Pua menyerahkan sampel susu berkenaan, namun sehingga kini tiada maklum balas. Dalam perkembangan lain, Tiong Lai menasihati orang ramai terutama mangsa banjir supaya senitasa berjaga-jaga berikutan peningkatan kes demam denggi.